Kudat: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dikhuatiri lemas ketika mandi-manda bersama keluarga di Pantai Simpang Mengayau, tengah hari tadi.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 12.28 tengah hari.
Sebaik menerima maklumat, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 25 kilometer. Operasi turut disertai anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Komander Operasi, PBK I Mohd Najib Jasri berkata, pasukan penyelamat berjaya menemukan mangsa kira-kira 400 meter dari tepi pantai pada jam 1.05 petang.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM pada jam 1.43 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2 petang.

