Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kes bunuh KV Lahad Datu: Seorang dipenjara seumur hidup, 12 lagi penjara selama perkenan TYT

Tawau: Mahkamah Tinggi Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan terhadap seorang bekas pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu selepas didapati bersalah membunuh rakan asramanya, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol dalam prosiding itu turut memerintahkan 12 tertuduh lain yang masih berstatus bawah umur menjalani hukuman penjara selama diperkenankan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, selaras dengan Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata, walaupun pihak pendakwaan memohon hukuman mati ke atas tertuduh utama yang kini berusia 20 tahun, mahkamah berpendapat pesalah muda wajar diberi peluang untuk berubah dan membina semula kehidupan. Namun, faktor usia tidak mencukupi untuk mengurangkan hukuman memandangkan tahap keseriusan jenayah.

“Dalam kes ini, tertuduh berusia 19 tahun ketika kejadian bersama 12 yang lain disabitkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 atas kesalahan membunuh rakan asrama mereka.

Berbeza dengan rakan-rakannya yang masih dikategorikan sebagai kanak-kanak dan dibicarakan di bawah Akta Kanak-Kanak, dia tidak lagi dianggap kanak-kanak di sisi undang-undang,” katanya ketika membacakan keputusan.

Hakim turut menegaskan bahawa kes berkenaan menjadi peringatan penting bahawa budaya buli sekolah kini telah sampai ke tahap meragut nyawa.

“Ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan harapan masa depan yang cerah, namun ada yang pulang trauma, malah ada yang tidak kembali langsung,” katanya.

Kes ini sekali gus menjadi isyarat tegas bahawa perbuatan buli bukan sekadar salah laku disiplin, sebaliknya jenayah berat yang meragut nyawa dan masa depan generasi muda.

Sumber: Berita Harian

Exit mobile version