Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ibu Zara semangat, mahkamah tidak benarkan penangguhan prosiding inkues – Peguam

Kota Kinabalu: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir dilihat tenang dan bersemangat selepas Mahkamah Koroner menolak permohonan peguam bela yang mahu menangguhkan prosiding inkues berhubung kematian anaknya.

Peguam keluarga, Shahlan Jufri berkata, keputusan mahkamah itu selaras dengan hasrat keluarga yang sejak awal lagi menuntut supaya inkues dijalankan tanpa sebarang penangguhan.

“Memang dari awal lagi kami mahukan inkues ini diteruskan. Mahkamah membenarkan hujahan kami dan menolak permohonan penangguhan daripada peguam bela. Ini memberi ruang untuk prosiding mencari kebenaran bermula pada 3 dan 4 September seperti dijadualkan,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding, hari ini.

Shahlan menegaskan, prosiding inkues adalah platform terbaik untuk mencari kebenaran sebenar mengenai punca kematian Zara.

“Sejak proses gali semula jenazah dan bedah siasat dijalankan, kami sudah tekankan perlunya inkues. Inilah kaedah yang kita mahukan dari awal dan akhirnya ia akan bermula,” ujarnya.

Mengulas keadaan ibu mangsa, Noraidah Lamat, Shahlan berkata, beliau menyambut baik keputusan mahkamah.

“Ibu Zara sangat bersemangat. Inilah hari-hari yang dinantikannya sejak awal lagi. Apabila mahkamah tidak membenarkan penangguhan, beliau gembira kerana inkues dapat diteruskan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Noraidah menyerahkan sepenuhnya kenyataan rasmi berkaitan prosiding kepada pasukan peguam keluarga.

Exit mobile version