Kota Kinabalu: Pasukan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, menegaskan bahawa prosiding inkues kematian kanak-kanak itu bukan medan untuk membela atau menyabitkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya bertujuan mencari kebenaran.
Wakil peguam keluarga, Shahlan Jufri berkata, pihaknya kecewa apabila Mahkamah Koroner hari ini membenarkan pasukan peguam bela yang mewakili pesalah kanak-kanak dalam kes buli Zara di Mahkamah Kanak-Kanak untuk turut menjadi pihak berkepentingan dalam inkues.
“Kami membantah kerana real battle (pertarungan sebenar) mereka adalah di Mahkamah Kanak-Kanak, bukan di inkues. Inkues ini ada prosedur berbeza, ia hanya mahu tahu apa yang berlaku terhadap Zara, bukan untuk membela sesiapa,” katanya kepada media selepas pendengaran permohonan menjadi pihak berkepentingan dalam proses inkues di sini, hari ini.
Dalam prosiding sama, mahkamah membenarkan pasukan peguam keluarga Zara untuk menjadi pihak berkepentingan, sekali gus memberikan akses kepada dokumen pendakwaan, tertakluk kepada empat syarat yang ditetapkan.
“Permohonan kami sudah dibenarkan. Kami diberi akses kepada dokumen berkaitan tetapi perlu mematuhi empat syarat yang ditetapkan mahkamah,” jelasnya.
Shahlan turut memaklumkan bahawa mahkamah menolak permohonan peguam bela yang meminta inkues ditangguhkan. Bantahan dikemukakan oleh pihak keluarga dan Pejabat Peguam Negara (AGC), lalu mahkamah mengekalkan jadual asal.
“Sejak awal, kami mahu inkues ini dijalankan tanpa penangguhan. Mahkamah menolak permohonan itu dan kami menghargai keputusan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, laporan bedah siasat (post mortem) dijangka dikeluarkan pada 2 September, manakala senarai saksi akan diserahkan kepada peguam selewat-lewatnya esok. Prosiding inkues pula akan berlangsung pada 3 dan 4 September seperti dijadualkan.
Prosiding akan dikendalikan oleh Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan yang menggantikan Azleena Aziz.
Dalam masa sama, Shahlan berkata mahkamah menolak permohonan Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) untuk hadir sebagai watching brief atau pemerhati.
“Kami bimbang jika terlalu ramai peguam pemerhati dibenarkan, maklumat inkues boleh disalahgunakan. Lagipun ini mahkamah terbuka, sesiapa sahaja boleh hadir tanpa perlu status pemerhati,” katanya.

