Tambunan: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan sekali lagi diberi mandat baharu oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, berikutan sokongan padu terhadap parti-parti tempatan untuk terus memimpin negeri ini.
Menurut beliau, GRS kini terdiri daripada lapan parti tempatan iaitu Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat Sabah, Sabah Progressive Party (SAPP), Parti Harapan Rakyat Sabah, United Sabah National Organisation (USNO), Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
“Lapan parti tempatan ini menjadi sandaran utama kita dalam menghadapi PRN akan datang. Sentimen rakyat jelas menyokong parti tempatan untuk memimpin politik Sabah dan kita tidak boleh mensia-siakan peluang ini,” katanya ketika berucap pada Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan, di sini, hari ini.
Hajiji turut menegaskan, rakyat perlu bersatu memastikan kemenangan GRS pada PRN-17, termasuk di Tambunan yang kini dipimpin Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Ketua Menteri menegaskan bahawa sepanjang lima tahun pentadbiran GRS, kerajaan negeri telah menunjukkan rekod pencapaian kukuh melalui pembangunan berasaskan tiga teras ekonomi utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
- Pertanian: Lembaga Padi dan Beras Sabah dihidupkan semula dengan sasaran meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan negeri kepada 60 peratus menjelang 2030.
- Perindustrian: Dasar mesra pelabur berjaya menarik pelaburan berimpak tinggi, termasuk pelaburan bernilai RM31 bilion dari Singapura melalui tiga fasa, yang bukan sahaja menjana ekonomi negeri malah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.
- Sosioekonomi: Bantuan bulanan RM300 disalurkan kepada kira-kira 100,000 isi rumah miskin dan miskin tegar. Secara keseluruhan, RM1.4 bilion telah dibelanjakan bagi membantu lebih 70,000 penerima bantuan kebajikan.
- Pendidikan: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.33 bilion untuk pembangunan modal insan dalam sektor pendidikan.
Dalam ucapannya, Hajiji turut membangkitkan persoalan mengenai rekod kepimpinan terdahulu, khususnya Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.
“Saya ingin bertanya, apa yang telah dilakukan oleh Shafie sepanjang dua setengah tahun beliau menjadi Ketua Menteri dan ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar selama hampir tujuh tahun?” katanya.
Hajiji menegaskan, dengan rekod pencapaian jelas yang telah dibuktikan oleh kerajaan negeri di bawah GRS, rakyat Sabah tidak boleh tersilap membuat pilihan dalam PRN akan datang.

