Kota Kinabalu: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, mengesahkan bahawa kerusi DUN Melalap yang kini disandang Datuk Peter Anthony akan diisytiharkan kosong pada 3 September sekiranya beliau gagal memfailkan petisyen pengampunan dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurut Kadzim, Mahkamah Rayuan pada 20 Ogos lalu telah menolak permohonan Peter untuk mengkaji semula sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen.
Dengan itu, keputusan penjara dan denda terhadap bekas menteri itu kekal berkuat kuasa.
“Perkara 17(1)(i) Perlembagaan Negeri Sabah jelas menyatakan bahawa mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan.
“Bagaimanapun, klausa ini dibaca bersama Perkara 17(3)(e) yang memberi tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan atau petisyen pengampunan,” katanya pada sidang media di DUN Sabah, hari ini.
Beliau menjelaskan, tempoh masa yang diperuntukkan kepada Peter adalah sehingga 2 September. Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil, kerusi DUN Melalap secara automatik dikosongkan pada 3 September.
“Jika petisyen pengampunan difailkan, kita perlu menunggu keputusan mengenainya sebelum sebarang pengisytiharan lanjut dibuat. Namun, jika gagal, kerusi berkenaan dikosongkan tanpa perlu menunggu apa-apa lagi keputusan,” tegas beliau.
Kadzim turut menambah bahawa urusan seterusnya termasuk tarikh bagi mengadakan pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut adalah tertakluk sepenuhnya kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

