Site icon TUHAU BAMBANGAN

PKR Sabah hilang autonomi, Fekirie letak jawatan Ketua Unit Logistik

Kota Kinabalu: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah sekali lagi berdepan isu dalaman apabila Ketua Unit Logistik Jawatankuasa Pilihan Raya Keadilan Sabah (JPRS), Fekirie Gobet mengumumkan peletakan jawatannya selepas mendakwa urusan logistik parti kini diambil alih sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP).

Dalam surat rasmi peletakan jawatan bertarikh 26 Ogos, Fekirie menegaskan beliau mengambil keputusan itu kerana tidak lagi melihat wujudnya autonomi dalam menguruskan logistik di peringkat negeri. Katanya, banyak perkara yang sepatutnya dibincangkan dan diputuskan di peringkat negeri kini ditentukan oleh JPRP.

“Biar mereka (JPRP) yang uruskan sendiri hal logistik dan berunding dengan calon-calon,” katanya dalam kenyataan media sosialnya.

Menurutnya, masalah sama bukan sahaja berlaku dalam Unit Logistik, tetapi juga unit-unit lain, menunjukkan seolah-olah PKR Sabah telah kehilangan autonomi dalam menguruskan perjalanan pilihan raya.

“Ini memberi isyarat jelas bahawa autonomi Sabah yang pernah diperjuangkan kini semakin terhakis,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semula kenyataan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef, yang menekankan pentingnya autonomi PKR Sabah sebagai sebahagian daripada perjuangan menuntut hak negeri.

Walau bagaimanapun, Fekirie sempat merakamkan penghargaan kepada Pengarah Pilihan Raya PKR Sabah, Datuk Peto Galim, yang menurutnya telah memberikan amanah besar sepanjang beliau berkhidmat.

Exit mobile version