Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jadikan Hari Kebangsaan wadah penyatuan, bukan medan perpecahan

Kota Kinabalu: Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohammed Razali Razi mengingatkan rakyat agar menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai landasan penyatuan dan kebersamaan, bukannya medan perpecahan, meskipun pelbagai isu hangat sedang diperdebatkan termasuk slogan “No Justice, No Merdeka”.

Menurut Razali, suara rakyat yang menuntut keadilan sememangnya tidak boleh dipandang ringan, namun semangat perpaduan ketika menyambut Hari Kebangsaan perlu terus dipertahankan.

“Kita faham ada isu-isu besar yang dibangkitkan, tetapi jangan sampai kita lupa tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.

“Hari Kebangsaan adalah hari kebersamaan, jangan alih fokus sehingga hilang makna sebenar kemerdekaan,” katanya selepas menghadiri program pengagihan Jalur Gemilang di pekan Manggatal, hari ini.

Mengulas kontroversi pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang menimbulkan perdebatan di Semenanjung, Razali menegaskan bahawa keadaan di Sabah jauh berbeza kerana masyarakat di negeri ini menitikberatkan keharmonian dalam kepelbagaian.

“Di Sabah kita hormati kepelbagaian, dan daripada rasa hormat itulah lahirnya perpaduan. Orang Sabah sebenarnya gambaran Malaysia yang sebenar kerana walaupun kita berbilang kaum, bangsa dan agama, kita tetap hidup dengan penuh keharmonian,” ujarnya.

Beliau menekankan bahawa budaya toleransi dan semangat perpaduan yang sekian lama diamalkan di Sabah perlu dijadikan contoh oleh seluruh rakyat Malaysia, agar semangat kemerdekaan kekal murni serta tidak dicemari dengan perselisihan yang mampu menggugat kebersamaan rakyat.

Exit mobile version