Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengumumkan penutupan sementara beberapa jalan utama dan kawasan tempat letak kereta di sekitar bandar raya ini bermula 26 hingga 31 Ogos 2025.
Penutupan tersebut dilaksanakan bagi memberi laluan kepada persiapan dan penganjuran Upacara Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2025 yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini.
Menurut kenyataan DBKK, persiapan kawasan acara akan bermula pada 26 Ogos (Selasa), manakala sesi raptai dijalankan pada 27, 28 dan 29 Ogos (Rabu, Khamis dan Jumaat).
“Persiapan akhir pula dijadualkan pada 30 Ogos (Sabtu) sebelum acara rasmi berlangsung pada 31 Ogos (Ahad).
“Antara jalan yang terlibat termasuk Jalan Tun Fuad Stephens (dari Bulatan SEDCO, Wawasan Plaza hingga lampu isyarat Centre Point Sabah), Jalan Utama Sutera Harbour, Jalan Coastal, serta Jalan Mentari.
“Selain itu, beberapa kawasan parkir turut ditutup antaranya KK Sentral, A Square, dan Stesen Perhentian Bas Zon Selatan,” jelas DBKK dalam kenyataan di sini, semalam.
DBKK menegaskan, penutupan jalan dan parkir ini akan dijalankan pada waktu tertentu, antaranya jam 5.00 pagi hingga 1.00 tengah hari pada tarikh raptai dan hari acara, manakala pada 30 Ogos penutupan bermula jam 10.00 malam hingga 1.00 tengah hari keesokan harinya.
Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas serta menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan awam.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

