Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jabatan Tanah Ukur Sabah catat pencapaian 92% KPI SMJ 2024 – Ketua Menteri

Kota Kinabalu: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah mencatat prestasi cemerlang apabila berjaya melaksanakan 11 daripada 12 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tahun 2024 dengan jumlah keseluruhan pencapaian 92 peratus.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kejayaan itu membuktikan komitmen tinggi warga JTU dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri.

“Pencapaian ini adalah hasil kerja keras, dedikasi serta budaya kerja cemerlang warga jabatan. Contohnya, kutipan hasil tanah berjaya melepasi sasaran RM281 juta dengan jumlah pungutan RM290.87 juta atau 104 peratus.

“Selain itu, 55,670 permohonan tanah telah diproses berbanding sasaran 45,000 permohonan, manakala pengukuran Tanah Adat Anak Negeri (NCR) mencapai 17,701.50 hektar, melepasi sasaran 15,000 hektar,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 JTU di Sabah International Convention Centre (SICC), Isnin.

Menurut Hajiji, JTU turut mewartakan 82 tapak simpanan kampung berbanding sasaran 80 tapak serta membangunkan tiga sistem baharu dalam talian iaitu Sistem Perlanjutan Lesen Pendudukan Sementara (TOL), Sistem Penguatkuasaan Tanah, dan Aplikasi 3D Building.

“Pencapaian ini jelas membuktikan pendekatan progresif JTU yang seiring dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan Program Pengukuran Tanah Adat Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang kekal sebagai agenda utama kerajaan negeri dalam menjamin hak pemilikan tanah bumiputera.

Sejak dilaksanakan pada 2011, kerajaan Persekutuan melalui ICU Jabatan Perdana Menteri telah menyalurkan sebanyak RM251.34 juta bagi program itu. Sehingga Jun 2025, sebanyak 488,705 ekar melibatkan 70,436 lot tanah adat berjaya diukur.

“PANTAS memberi impak besar kerana ia membantu anak negeri Sabah memiliki tanah sendiri. Usaha ini terus diperkasa melalui pelancaran Galeri Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang menjadi simbol dedikasi jabatan serta sumber ilmu untuk generasi akan datang,” katanya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada penerima APC 2024 dan mengingatkan mereka agar menjadikan pengiktirafan itu sebagai pendorong untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

“Budaya kerja kreatif dan inovatif perlu dipupuk bagi memastikan sistem penyampaian lebih mantap dan berkesan. Komitmen berterusan amat penting untuk memastikan Sabah terus melangkah maju selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ,” katanya.

Exit mobile version