Site icon TUHAU BAMBANGAN

JKR teliti cadangan U-Turn tambahan di Jalan Berungis – Tebobon, bantu atasi kesesakan

Mohd Shamsul barisan duduk (empat dari kanan), Razali (lima dari kanan) & Arshad (enam dari kanan) selepas selesai sesi Taklimat Pengurusan Trafik Projek Lebuhraya Pan Borneo WP07 dan WP07

Sepanggar: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedang meneliti cadangan pembinaan satu pusingan U (U-turn) tambahan di Jalan Berungis-Tebobon sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas yang membelenggu pengguna di kawasan tersebut.

Timbalan Pengarah JKR Sabah, Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Dato’ Ir. Mohd Shamsul Nizam Abdul Wahid, berkata cadangan yang dikemukakan oleh penduduk setempat itu mampu memendekkan jarak pusingan U yang kini hanya tersedia di kawasan Bandar Sierra.

“Cadangan ini merupakan langkah jangka pendek yang baik dan sedang diperhalusi. Jika dilaksanakan, ia akan memudahkan penduduk Kampung Tebobon membuat pusingan U tanpa perlu menghala jauh.

“Lokasi dicadangkan adalah di hadapan bangunan Telekom Malaysia (TM) dan dijangka siap dalam tempoh sebulan hingga enam minggu,” katanya selepas sesi taklimat pengurusan trafik Projek Lebuhraya Pan Borneo WP07 dan WP08 bersama pemimpin setempat di Pejabat Tapak WP08 Bandar Sierra, hari ini.

Beliau berkata, bagi langkah jangka panjang, kerja utama lebuh raya sedang dipercepatkan dengan laluan utama WP07 dijangka siap menjelang hujung tahun ini, manakala WP08 disasarkan siap pada 2026.

Selain itu, skop tambahan pembinaan mini jejambat di Tuaran turut dijangka siap pada tahun sama.

“Pada November ini, laluan Tobobon hingga persimpangan Norowot yang mempunyai jejambat akan dibuka sepenuhnya. Ia akan memberi impak besar dalam mengurangkan kesesakan kerana pengguna tidak lagi perlu membuat pusingan U jauh,” jelasnya.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohammed Razali Razi, menyambut baik penjelasan tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada JKR Sabah atas komitmen mendengar suara rakyat.

“Kami diberi jaminan masalah ini akan diselesaikan dalam masa terdekat. Untuk jangka panjang, rakyat perlu bersabar sehingga projek siap sepenuhnya. Yang penting, JKR sentiasa mendengar suara penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris, berkata penjelasan yang diterima akan disampaikan kepada masyarakat di peringkat akar umbi agar mereka memahami perkembangan sebenar projek Pan Borneo.

“Sekurang-kurangnya pada hari ini, kami mendapat penerangan jelas mengenai status projek di Karambunai, dan maklumat ini akan kami sampaikan kepada masyarakat di kawasan,” ujarnya.

Exit mobile version