Kota Belud: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan dakwaan pembangkang bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah kerajaan gagal hanyalah fitnah semata-mata, sedangkan pencapaian kerajaan negeri jelas membuktikan sebaliknya.
“Jika benar GRS gagal, kita tidak akan mampu menyalurkan begitu banyak bantuan kepada rakyat dan meningkatkan hasil negeri daripada RM4 bilion kepada RM7 bilion hari ini. Pembangkang hanya tahu menyebarkan pembohongan di media sosial. Semasa mereka berkuasa dua setengah tahun, tiada perancangan kukuh dibuat, tetapi sekarang bercakap seolah-olah tahu segala-galanya,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Komuniti Sabah Maju Jaya (SMJ) bersama Ketua Menteri di Kampung Pantai Emas, di sini, semalam.
Menurut beliau, sejak mengambil alih pentadbiran, kerajaan negeri telah melaksanakan sekitar 400 inisiatif di bawah pelan pembangunan Hala Tuju SMJ, dengan kadar pelaksanaan mencecah 94 peratus.
“Semua ini adalah untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri Sabah,” tegasnya.
Bagi tempoh 2021 hingga 2024, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.49 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 336,000 penerima bantuan kebajikan termasuk Skim Bantuan Am (SBAM) dan Skim Bantuan Anak Yatim (SBAY). Tambahan RM385.5 juta turut diperuntukkan pada tahun ini bagi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang membantu lebih 100,000 penerima miskin dan miskin tegar.
Bagi tahun 2025 pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM488.5 juta untuk program pembasmian kemiskinan, dengan penggunaan Pangkalan Data Sabah (PADANs) bagi menentukan bentuk intervensi yang bersesuaian.
Hajiji turut menekankan pelaburan besar dalam bidang pendidikan apabila RM1.33 bilion dibelanjakan bagi pembangunan modal insan, termasuk peningkatan peruntukan biasiswa negeri kepada RM138 juta tahun ini berbanding RM50 juta sebelum ini.
Selain itu, beliau berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada sektor Ekonomi Biru bagi menjana sumber kekayaan baharu, di samping mengukuhkan kedudukan Sabah dalam sektor minyak dan gas selepas termeterainya Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) bersama Petronas.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS menempelak tindakan Warisan yang sering menggambarkan seolah-olah merekalah yang memulakan Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), sedangkan program itu sebenarnya telah lama dilaksanakan.
“Saya perlu nyatakan perkara ini kerana tidak mahu rakyat di Kota Belud terpedaya dengan pembohongan pembangkang,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Hajiji turut menyampaikan geran tanah PANTAS kepada 10 penerima mewakili 502 penerima lain, selain menyerahkan bantuan kebajikan, kunci Rumah Mesra SMJ serta sumbangan kepada 66 buah sekolah di daerah ini.
Turut hadir, Ketua Penyelaras Sekretariat SMJ Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, ADUN Pintasan Datuk Fairuz Renddan, ADUN Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari, Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta Ketua Gagasan Rakyat Usukan Datuk Japlin Akim.

