Lahad Datu: Polis Daerah Lahad Datu mengesahkan penemuan satu objek disyaki bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb di tebing Sungai Segama, Lahad Datu pada pagi Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, pemeriksaan awal mendapati bom berkenaan berukuran kira-kira 40 sentimeter lilit, panjang 30 sentimeter dan dianggarkan seberat 500 lbs.
Siasatan lanjut oleh Cawangan Persenjataan IPD Lahad Datu mengesahkan ia dipercayai bom buatan British peninggalan era Perang Dunia Kedua.
Bom berbahaya itu ditemui oleh seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun ketika menjala ikan di kawasan sungai berkenaan sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan tersebut sementara menunggu Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Kontinjen Sabah melaksanakan proses pemusnahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Polis turut menegaskan sebarang tindakan mendekati atau mengusik objek berbahaya itu boleh mengundang risiko keselamatan.

