Kudat: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mendedahkan punca utama masalah air di negeri ini berpunca daripada tindakan kerajaan Parti Warisan yang menamatkan kontrak lapan syarikat konsesi air ketika mereka memegang tampuk kuasa.
Beliau berkata, keputusan itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran sistem bekalan air, malah membawa kerugian besar kepada kerajaan negeri selepas syarikat-syarikat terbabit mengambil tindakan undang-undang.
“Tahukah kamu apabila Warisan ambil alih kerajaan, lapan syarikat konsesi yang menjaga air mereka tamatkan, mereka potong. Akibatnya syarikat terbabit bawa perkara itu ke mahkamah dan kerajaan rugi bayar RM315 juta kepada mereka, tiada faedah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah di Grand Ballroom Kudat Golf & Marina Resort, Jumaat malam.
Hajiji menegaskan, meskipun isu tersebut diwarisi, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap mengambil tanggungjawab melaksanakan langkah penyelesaian termasuk menaik taraf loji rawatan air dengan peruntukan RM300 juta, selain menaik taraf Loji Kogopon di Papar daripada 40 juta liter sehari (JLS) kepada 80 JLS yang dijangka siap tahun depan.
“Di Tawau dan tempat lain juga kita beri peruntukan untuk atasi masalah air. Jadi ini rakyat mesti tahu, jangan dengar di media sosial kata GRS gagal,” jelasnya.
Selain isu air, Hajiji turut menyentuh kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang menurutnya turut berpunca daripada tindakan kerajaan Warisan menamatkan perkhidmatan syarikat konsultan projek tersebut.
Katanya, keputusan itu telah menyebabkan projek mega itu tertangguh lebih empat tahun sekali gus memberi kesan besar kepada pembangunan infrastruktur jalan raya di negeri ini.

