Tongod: Tongod dijangka mencatat sejarah sebagai daerah pertama di Sabah yang menyediakan kawasan khas untuk tapak perkampungan baharu bagi menempatkan rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) secara terancang.
Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, inisiatif itu merupakan kerangka baharu hala tuju program perumahan SMJ yang dicadangkan untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada tahun hadapan.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kunci dua unit rumah SMJ yang baru siap dibina di Kampung Purutowai, semalam.
“Saya telah mengarahkan Pegawai Daerah dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) mengenal pasti kawasan strategik untuk diwartakan sebagai perkampungan baharu SMJ.
“Kita yakin sebaik sahaja kerajaan negeri dapat membentuk semula kerajaan baharu, maka perkampungan SMJ ini akan diwujudkan sebagai modul pertama di Sabah,” katanya.
Menurut Masiung, penempatan baharu itu akan membolehkan pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik dilaksanakan dengan lebih mudah dan terancang.
Selain itu, apabila jumlah rumah SMJ terus bertambah setiap tahun, kerajaan juga lebih mudah menyediakan kemudahan awam seperti dewan serbaguna, tabika dan klinik di kawasan berkenaan.
Pada masa ini, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memperuntukkan 40 buah rumah SMJ untuk setiap kawasan DUN dengan kos keseluruhan RM3.2 juta.
Rumah-rumah tersebut diberikan secara percuma kepada rakyat Sabah yang layak.
Majlis penyerahan kunci di Kampung Purutowai itu turut dihadiri Pegawai Daerah Tongod, Mohd Yuseri Ismail Yusof, dan PPM Tokyo Hasim Omar.

