Site icon TUHAU BAMBANGAN

Beri peluang GRS terus terajui Sabah, masih banyak perlu dilaksana – Joachim

Kalabakan: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menggesa rakyat agar memberikan peluang kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui pentadbiran negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, mandat baharu amat penting bagi memastikan agenda pembangunan yang telah digerakkan sejak lima tahun lalu dapat diteruskan secara konsisten demi manfaat rakyat di seluruh Sabah.

“Berilah peluang kepada GRS untuk memerintah dalam tempoh lima tahun lagi. Masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Dengan kemenangan kelak, ia akan memudahkan kerajaan menyalurkan pembangunan secara berterusan di kawasan ini dan di seluruh negeri,” katanya.

Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian PBS Sebatik di Dewan Serbaguna Kalabakan, hari ini yang dihadiri lebih 300 ahli dan pemerhati.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan PBS sebagai komponen penting dalam GRS terus mendapat sokongan rakyat, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik.

Menurutnya, kestabilan politik menjadi faktor utama untuk memastikan Sabah mampu mengejar pembangunan yang seimbang dengan negeri-negeri di Semenanjung.

“Kita akan meneruskan perjuangan ini sehingga mencapai keselesaan, iaitu menuntut hak-hak rakyat Sabah dan memastikan pembangunan yang sama rata, setimpal serta seimbang,” tegasnya.

Dr. Joachim turut mengingatkan ahli PBS agar sentiasa bersatu dan memberi sokongan penuh kepada calon GRS yang akan diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kita hadapi PRN dengan hati yang tenang. Jangan gusar. Kita bersama komponen GRS akan bersatu hati membentuk kerajaan semula. Yang penting, PBS berada dalam GRS dan perlu menang supaya apa yang kita kecapi dalam lima tahun ini dapat diteruskan,” katanya.

Exit mobile version