Tuaran: Seorang lelaki cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Tamparuli–Ranau berhampiran Kampung Minangkop, petang kelmarin.
Insiden itu turut menyebabkan 10 lagi mangsa lain mengalami kecederaan ringan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, panggilan kecemasan diterima melalui MERS999 pada jam 1.33 tengah hari sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi, kemalangan melibatkan dua pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Vigo, sebuah Suzuki Jeep dan sebuah kereta Toyota Vios.
“Terdapat seorang pemandu lelaki berusia 35 tahun tersepit di dalam Toyota Vios dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dalam keadaan cedera parah,” katanya dalam kenyataan.
Antara mangsa yang cedera ringan ialah pemandu Toyota Hilux merah, lelaki 30 tahun bersama seorang wanita 31 tahun; pemandu Suzuki Jeep, lelaki 65 tahun; pemandu Toyota Hilux Vigo kelabu, lelaki 23 tahun bersama empat penumpang lelaki seusia; serta dua penumpang Toyota Vios iaitu seorang wanita berusia 32 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan enam tahun.
Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Bomba, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans EMRS, KKM dan APM.
Operasi diketuai PBK I Mahmud Jumah dari BBP Tuaran dengan kerjasama PDRM, KKM dan APM. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.42 petang setelah lokasi disahkan selamat.

