Kota Kinabalu: Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan untuk menjalin kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah, meskipun Warisan sekali lagi menegaskan akan bertanding secara solo.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, landskap politik semasa menjadikan kerjasama antara parti sesuatu yang tidak mustahil.
“PN akan bertanding atas tiket gabungan. Kita tidak akan bergerak secara solo kerana parti yang bertanding sendirian sudah tidak relevan. Sebab itu, kita lihat parti-parti kecil turut menyertai gabungan.
“Walaupun begitu, kemungkinan kerjasama dengan Warisan tetap ada kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku, lebih-lebih lagi PRN Sabah belum diumumkan tarikh pembubarannya,” katanya pada sidang akhbar di Kota Bharu, pada Sabtu.
Mengulas mengenai persiapan PAS di Sabah, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, kepimpinan negeri telah diarahkan mengenal pasti calon berpotensi, namun keputusan akhir tetap ditentukan oleh PAS Pusat. Beliau menambah, pembahagian kerusi masih dalam rundingan bergantung kepada kekuatan parti di Sabah.
“PAS tidak pernah menang kerusi di Sabah, namun kalau berjaya menang satu kerusi pun sudah dianggap kejayaan 100 peratus. Setakat ini, kita hanya mempunyai seorang ADUN dilantik, iaitu Pesuruhjaya PAS Sabah,” ujarnya.
Sementara itu, Warisan dalam satu kenyataan balas menolak kemungkinan kerjasama dengan mana-mana gabungan politik, termasuk PN, pada PRN17.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Takiyuddin tetapi menegaskan pendirian parti itu tidak berubah.
“Warisan akan bertanding secara solo dan sejak awal lagi, Warisan telah menyatakan pendirian kami ini dengan jelas. Di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Warisan akan bertanding dalam PRN17 secara bersendirian menggunakan logo sendiri.
“Keputusan ini telah pun disampaikan secara konsisten dan kekal tidak berubah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Sumber: Sinar Harian

