Penampang: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang deejay warga asing dalam satu serbuan Op Mega Noda yang dijalankan awal pagi tadi di sebuah pusat hiburan sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, serbuan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen hiburan awam.
“Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan yang bertugas sebagai penjaga premis ditahan bersama seorang deejay warganegara asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Polis turut merampas beberapa peralatan muzik termasuk sebuah komputer riba dan mikrofon untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa hukuman denda, penjara atau sebatan jika sabit kesalahan.
Superintenden Sammy menegaskan, pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan rapi dan operasi berterusan bagi memastikan pusat hiburan di daerah ini mematuhi undang-undang serta tidak menjadi punca kepada aktiviti jenayah atau gejala sosial.

