Site icon TUHAU BAMBANGAN

SPRM cadang perbicaraan rasuah berprofil tinggi disiar secara ‘LIVE’

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan cadangan agar perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung sebagai langkah meningkatkan ketelusan serta keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman.

Memetik Bernama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, langkah itu penting berikutan terdapat pihak yang menggunakan media sosial untuk memanipulasi fakta kes dan menyebarkan tomahan yang boleh menjejaskan persepsi umum.

“Antara cadangan yang kita kemukakan ialah penstriman langsung prosiding perbicaraan kes rasuah. Jika dilaksanakan, ia akan menunjukkan keterbukaan kerajaan, malah rakyat dapat menilai sendiri perjalanan kes secara telus,” katanya dalam sesi khas bersama media hari ini.

Selain itu, SPRM turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) di semua lokap agensi penguat kuasa di seluruh negara.

Cadangan itu dibuat susulan aduan berkaitan isu rasuah, kelemahan pemantauan dan ketidakpatuhan yang timbul akibat penggunaan CCTV lama yang tidak dihubungkan ke pusat kawalan.

“CCTV moden lengkap dengan teknologi AI amat penting untuk memastikan pemantauan berkesan serta akauntabiliti tinggi. Sistem sedia ada sudah ketinggalan zaman dan berbentuk ‘stand-alone’, tidak sesuai untuk keperluan semasa,” jelas Azam.

Cadangan tersebut, menurut beliau, adalah sebahagian daripada usaha SPRM untuk memperkukuh integriti, mempertingkat ketelusan dan memantapkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan serta kehakiman negara.

Exit mobile version