Kota Kinabalu: Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, menegaskan anak guam mereka tidak pernah membuat sebarang kutipan derma bagi tujuan membayar yuran guaman.
Dalam kenyataan media hari ini, mereka menjelaskan tular di media sosial beberapa nombor akaun seolah-olah menggambarkan anak guam sedang mengutip sumbangan untuk kos guaman, sedangkan perkara itu tidak benar.
“Anak guam kami tidak ada membuat kutipan derma sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk membayar yuran guaman. Akaun yang pernah digunakan untuk menerima sumbangan orang ramai selepas kematian Zara juga telah dihentikan tidak lama kemudian,” kata kenyataan bersama itu.
Menurut mereka lagi, sebarang sumbangan kini hanya diterima secara fizikal oleh anak guam sendiri atau melalui wakil NGO yang diberi kuasa, sementara semua khidmat guaman diberikan secara pro bono atau percuma.
Pada Rabu, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas pertuduhan membuli mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, namun kesemuanya mengaku tidak bersalah.
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu turut menetapkan 3 September depan sebagai tarikh bermulanya inkues bagi menyiasat punca sebenar kematian Zara, yang dijadual berlangsung selama 19 hari.
Pihak peguam keluarga sebelum ini juga telah mendesak agar pertuduhan lebih berat dikenakan terhadap tertuduh demi memastikan keadilan untuk arwah.

