Tuaran: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang ini merupakan penyertaan terakhirnya untuk bertanding selepas lebih tiga dekad bergiat aktif dalam dunia politik.
Berucap ketika merasmikan Dewan DSP Hajiji dan majlis persaraan Guru Besar SK Bundung, Tuaran, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), faktor usia dan kepenatan menjadi pendorong utama keputusannya untuk berundur.
“Separuh daripada hidup saya, iaitu lebih 35 tahun, saya sudah menjadi wakil rakyat. Kini pada usia 70 tahun, saya beritahu orang Sulaman bahawa PRN ini yang terakhir buat saya.
“Itu pun kerana tanggungjawab sebagai Pengerusi GRS, Ketua Menteri dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). Jika tidak, lama sudah saya penat,” katanya.
Menurut beliau, perjalanan politiknya adalah ketentuan Allah SWT yang tidak pernah disangkakan, termasuk peluang menjadi Ketua Menteri.
“Ini semua kerja Allah SWT, bukan kerja kita. Ramai orang mahu jadi wakil rakyat, tetapi tidak berjaya. Kita kena syukur, buat baik sesama manusia dan insyaAllah hidup serta perjuangan kita akan diberkati,” ujarnya.
Hajiji turut mengakui dunia politik penuh cabaran dan kritikan, namun sokongan rakyat yang berterusan menjadi kekuatan untuk beliau meneruskan perjuangan hingga ke penghujung karier politiknya.

