Lahad Datu: Polis Daerah Lahad Datu menahan lima lelaki termasuk seorang warga asing dalam beberapa operasi berasingan yang dijalankan pada 20 Ogos lalu, sekali gus menegaskan komitmen pasukan keselamatan dalam membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 50 tahun itu ditahan hasil operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan kerjasama Kompeni B Batalion 17 Pasukan Gerakan Am.
“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sejumlah 6.31 gram dadah jenis syabu dengan nilai pasaran dianggarkan RM694.10,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kes pertama, seorang lelaki warga Filipina berusia 50 tahun tanpa dokumen pengenalan diri ditahan di kawasan Jalan Pantai, Lahad Datu. Pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 5.35 gram.
Kes kedua pula membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah. Suspek ditahan ketika berada di dalam sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max di kawasan Felda Sahabat 16, dan pemeriksaan lanjut menemui empat paket syabu seberat 0.83 gram.
Dalam operasi berasingan, seorang lagi lelaki tempatan berusia 36 tahun turut ditahan di Jalan Lorong Kencana 12, Felda Sahabat 16. Polis menemui satu paket syabu seberat 0.13 gram dan suspek ini juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
Manakala dalam kes keempat, dua lelaki tempatan berusia 35 dan 31 tahun ditahan dalam pemeriksaan berasingan. Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
ACP Dzulbaharin berkata, kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Operasi ini mencerminkan usaha berterusan pihak polis dalam memastikan jenayah dadah dapat dibanteras habis-habisan di Lahad Datu,” katanya.

