Kota Kinabalu: “Anak guam kami bukan anak VVIP, sebaliknya remaja biasa yang juga berhak dibela.”
Itu penegasan peguam terkenal, Datuk Ram Singh, yang bersama rakan-rakan peguam lain tampil mewakili lima remaja terbabit dalam kes buli membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, secara pro bono (percuma).
Menurut peguam yang terkenal dalam kes-kes berprofil tinggi itu, khidmat guaman tersebut diberikan atas permintaan keluarga tertuduh yang menghubungi mereka untuk mendapatkan bantuan.
“Kami didekati keluarga untuk mendapatkan bantuan, dan bersama peguam lain, kami bersetuju mewakili mereka secara percuma,” katanya di sini, memetik laporan New Straits Times (NST).
Selain Ram Singh, barisan peguam lain termasuk Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan yang mewakili salah seorang tertuduh. Empat lagi remaja masing-masing diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.
Menurut Azhier, anak guamnya juga perlu diberi peluang sebagaimana dijamin undang-undang untuk mengemukakan bukti dan keterangan.
“Anak guam kami berhak mendapat perlindungan undang-undang termasuk hak untuk membela diri dengan keterangan yang sah,” katanya.
Sebelum ini, kelima-lima remaja terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, memaklumkan semua tertuduh dibenar ikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta deposit RM1,000.
“Tidak ada pengakuan salah, 25 September ini tarikh sebutan semula,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah di Papar antara jam 10 hingga 11 malam, pada 15 Julai lalu.
Arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri keesokan harinya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 17 Julai.

