Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan pendakwaan terhadap lima remaja perempuan bawah 18 tahun yang terbabit dalam kes buli arwah Zara Qairina Mahathir, 13, akan tetap diteruskan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, ketika dihubungi media hari ini berkata, pendakwaan akan dijalankan seperti dirancang mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025).
“We will proceed (kita akan teruskan),” katanya ringkas seperti dilaporkan Harian Metro.
Kenyataan itu hadir selepas pasukan peguam keluarga arwah Zara memohon agar pendakwaan ditangguh dan dipinda kepada Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Mereka menegaskan Seksyen 507C (1) terlalu ringan kerana hanya memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda.
Malah, menurut mereka, penggunaan seksyen tersebut tidak sepadan dengan tragedi yang mengorbankan seorang pelajar serta berisiko membuka ruang kepada isu double jeopardy, iaitu pesalah tidak boleh dibicarakan semula atas kesalahan sama pada masa hadapan.
Seksyen 507C (1) merujuk kepada kesalahan menggunakan perkataan atau komunikasi berunsur ancaman, kesat atau menghina sehingga menyebabkan seseorang berasa diganggu, tertekan, takut atau bimbang.
Sementara Seksyen 507D (2) pula memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan buli yang menyebabkan kecederaan serius atau kehilangan nyawa.
Semalam, Mohd Dusuki turut mengesahkan lima suspek akan didakwa.
Namun, keluarga arwah melalui barisan peguam menegaskan keadilan hanya akan tercapai sekiranya pertuduhan yang dikenakan benar-benar mencerminkan keseriusan tragedi ini.
Prosiding esok dijangka bakal menjadi tumpuan masyarakat yang menanti apakah keputusan mahkamah akan menjawab tuntutan keadilan atau menambah luka keluarga mangsa.

