KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) memandang serius isu gangguan terhadap pengamal media semasa membuat liputan inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina di Mahkamah Kota Kinabalu baru-baru ini.
Presiden SJA, Mariah Doksil dalam satu kenyataan menegaskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa dan semua pihak berkaitan demi menjaga keselamatan, integriti serta profesionalisme liputan media.
Menurut kenyataan itu, dua wartawan wanita mendakwa diganggu apabila seorang individu yang tidak dikenali berdiri terlalu rapat sehingga menyentuh mereka ketika sidang media berlangsung. Individu terbabit juga bukan daripada kalangan petugas media berdaftar.
“SJA menuntut penguatkuasaan lebih ketat bagi memastikan wartawan dapat menjalankan tugas tanpa ancaman gangguan fizikal. Selain itu, SJA menegur tindakan pihak yang bukan pengamal media sah kerana memasuki zon media dan melakukan penstriman langsung untuk tujuan keuntungan peribadi.
“Perkara ini, menurut SJA, menjejaskan kerja hakiki wartawan dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam.
“SJA turut melahirkan kebimbangan berhubung laporan salah mengenai prosiding undang-undang yang tular melalui sumber tidak sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu tegasnya, akses kepada sidang media perlu diberikan keutamaan kepada media berdaftar agar laporan tepat dan sahih dapat disampaikan.
Dalam pada itu, SJA menggesa pihak berkuasa memperketat kawalan akses di kawasan larangan seperti mahkamah serta memastikan rakaman tidak dibenarkan sewenang-wenangnya.
“Ini bagi mengelakkan gangguan kepada media berdaftar yang menjalankan tugas rasmi,” katanya.
Mariah menegaskan bahawa laporan media yang bertanggungjawab bukanlah bersifat sensasi, sebaliknya berteraskan kepentingan awam dan keadilan.
“Semua pihak harus menghormati piawaian kewartawanan dan tuntutan undang-undang agar masyarakat mendapat maklumat yang benar dan tepat,” katanya.

