Site icon TUHAU BAMBANGAN

Identiti kanak-kanak dalam kes Zara tidak boleh didedahkan – SUHAKAM

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan bahawa identiti lima remaja yang akan didakwa berhubung kes membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tidak boleh sama sekali didedahkan kepada umum.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM mengingatkan bahawa semua kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), termasuk sokongan psikologi, bantuan guaman dan layanan yang adil.

“Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti mereka tidak boleh dipaparkan. Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak memperuntukkan hukuman sehingga RM10,000 denda atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali, bagi mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini,” menurut kenyataan itu.

SUHAKAM turut menegaskan bahawa prosiding Mahkamah Kanak-Kanak adalah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta Kanak-Kanak 2001, yang hanya boleh dihadiri oleh pihak berkaitan. Oleh itu, privasi kanak-kanak mesti sentiasa dihormati.

Suruhanjaya itu juga memberi amaran bahawa pendedahan identiti kanak-kanak berisiko menambah trauma dan stigma, selain boleh mengundang kandungan berbahaya tular di media sosial.

“Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok perlu lebih proaktif menurunkan kandungan yang melanggar undang-undang, bukan hanya menunggu laporan dibuat. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan lebih banyak mudarat kepada kanak-kanak,” tegas kenyataan itu.

SUHAKAM mengingatkan bahawa keutamaan dalam kes ini ialah melindungi hak kanak-kanak dan membiarkan proses keadilan berjalan selaras dengan undang-undang.

Exit mobile version