Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tuduhan 507C(1) boleh gugat keadilan kes, peguam keluarga mohon tangguh pendakwaan & mahu siasatan lanjut

Kota Kinabalu: Barisan peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina merayu agar Peguam Negara menangguhkan pendakwaan terhadap lima remaja yang bakal dituduh kerana membuli mangsa, dengan alasan pertuduhan semasa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan terlalu ringan berbanding keseriusan kes tersebut.

Dalam kenyataan media bersama pada Selasa, para peguam berkata, berdasarkan fakta kes, tuduhan yang lebih sesuai dikenakan ialah di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, iaitu peruntukan yang membawa hukuman lebih berat jika perbuatan buli atau provokasi mendorong mangsa kepada cubaan bunuh diri atau kematian.

“Kami memohon agar Peguam Negara mempertimbangkan supaya semua remaja tersebut dituduh di bawah Seksyen 507D(2). Jika keterangan sedia ada tidak mencukupi untuk sabitan, siasatan lanjut perlu diteruskan dan pendakwaan wajar ditangguhkan buat sementara waktu,” menurut kenyataan itu.

Pasukan peguam turut melahirkan kebimbangan sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) diteruskan, ia boleh menggugat keadilan kes.

“Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah, apabila siasatan lanjut atau inkues menemui keterangan baharu yang membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) atau kesalahan lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa. Prinsip double jeopardy dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan akan menghalang pendakwaan semula,” jelas kenyataan itu.

Menurut mereka lagi, sekiranya hasil siasatan kemudian mencukupi untuk mendakwa para remaja tersebut di bawah seksyen lebih berat daripada 507D(2), pihak pendakwaan wajar mengambil langkah itu.

Bagi tujuan itu, pasukan peguam mengesahkan telah menghantar satu surat rasmi kepada Peguam Negara pada pagi Selasa melalui emel, bagi memohon penangguhan pendakwaan serta semakan semula seksyen undang-undang yang akan digunakan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh pasukan peguam keluarga Zara termasuk Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Exit mobile version