Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kematian Zara: Peguam gesa, guna Seksyen 507D(2), boleh dipenjara 10 tahun jika disabit bersalah

Gambar: Utusan Malaysia

Kota Kinabalu: Barisan peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina mengalu-alukan keputusan Peguam Negara untuk menuduh beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes buli remaja berusia 13 tahun itu.

Dalam kenyataan media bersama, para peguam menegaskan bahawa pendakwaan perlu dibuat dengan menggunakan Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, iaitu peruntukan khas yang memperuntukkan hukuman lebih berat sekiranya perbuatan buli atau provokasi menyebabkan mangsa cuba membunuh diri atau mengambil nyawa sendiri.

“Kami berpendapat, memandangkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sendiri mendedahkan bahawa wujud keterangan yang menjurus ke arah perbuatan buli sebelum kejadian menimpa Zara, maka individu yang terlibat perlu didakwa di bawah Seksyen 507D(2),” kata kenyataan itu di sini, semalam.

Menurut barisan peguam tersebut, mereka setakat ini belum dimaklumkan identiti suspek yang akan dituduh di mahkamah mahupun peruntukan undang-undang yang bakal digunakan pihak pendakwaan. Namun, mereka berharap pertuduhan kelak dikaitkan secara langsung dengan kematian Zara supaya hukuman maksimum dapat dikenakan jika sabit kesalahan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh lima peguam mewakili keluarga arwah termasuk Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Seksyen 507D Kanun Keseksaan merupakan pindaan baharu yang diluluskan pada tahun 2024 bagi menangani kes-kes buli.

Subseksyen (1): Menjadikan kesalahan jika seseorang mengugut, menghina atau memprovokasi hingga menimbulkan ketakutan atau tekanan kepada mangsa. Hukuman penjara hingga 1 tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Subseksyen (2): Jika perbuatan tersebut mendorong mangsa untuk cuba membunuh diri atau benar-benar membunuh diri, pesalah boleh dihukum penjara hingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Dengan peruntukan ini, peguam keluarga Zara menegaskan bahawa kes ini wajar diletakkan di bawah seksyen tersebut supaya hukuman yang setimpal dapat dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Exit mobile version