Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ibu Zara tolak 2 kali bedah siasat demi segerakan pengebumian – Saifuddin

Kuala Lumpur: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan bahawa ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina, Noraidah Lamat, telah dua kali menolak pelaksanaan bedah siasat (post-mortem) terhadap jasad anaknya ketika berada di hospital pada 17 Julai lalu.

Beliau berbuat demikian kerana ingin segera melakukan pengebumian anaknya yang “sudah cukup derita”.

Pegawai penyiasat telah memaklumkan keperluan bedah siasat kepada Noraidah, tetapi beliau tetap berpendirian tidak mahu ia dijalankan. Pada kira-kira jam 5 petang hari yang sama, doktor bertugas sekali lagi menemui ibu mangsa, namun beliau kekal dengan keputusannya.

Noraidah kemudian menandatangani surat akuan rasmi yang menyatakan persetujuannya untuk tidak melakukan bedah siasat, disaksikan oleh kakak iparnya, dan dokumen itu telah didokumentasikan secara sah.

Walaupun keputusan dibuat mengikut kehendak keluarga, Saifuddin mengakui adanya kecuaian prosedur oleh pegawai penyiasat kerana tidak mematuhi tatacara siasatan seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593). Pihak polis telah mengakui kegagalan ini dan akan mengambil tindakan dalaman terhadap pegawai terbabit.

Menteri itu menegaskan penolakan Noraidah untuk bedah siasat adalah fakta semata bukan bertujuan menyalahkannya dan sebarang kekeliruan tentang sama ada beliau memahami proses tersebut sepenuhnya akan dijelaskan semasa inkues kelak.

Inkues bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina akan bermula pada 3 September di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu. Perbicaraan ini dijangkakan menjadi platform untuk meneliti sama ada wujud unsur jenayah, pengabaian atau kecuaian dalam insiden tragis tersebut.

Zara Qairina, seorang pelajar Tingkatan Satu, ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berdekatan asrama sekolahnya di Papar, Sabah pad a pagi 16 Julai lalu. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu

Exit mobile version