KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, mengajukan soalan kepada Perdana Menteri mengenai kerugian yang ditanggung Petronas berikutan pemberhentian operasi saluran paip gas asli sepanjang 500 kilometer dari Kimanis, Sabah ke Bintulu, Sarawak.
Dalam sesi soalan lisan di Persidangan Dewan Rakyat Khamis lalu, Madius meminta kerajaan menyatakan jumlah kerugian yang dialami Petronas akibat keputusan tersebut.
“Dan apakah alasan serta justifikasi yang diberikan oleh syarikat minyak dan gas negara ini apabila membina projek berkenaan walaupun diketahui akan berdepan dengan risiko kerugian,” soal Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi.
Menjawab pertanyaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu jawapan bertulis memaklumkan, penamatan operasi hanya melibatkan segmen saluran paip yang merentasi kawasan Lawas, Limbang, Miri, dan Bintulu di Sarawak.
Ujar beliau, bahagian lain saluran paip, termasuk di Sabah, masih beroperasi seperti biasa.
“Keputusan ini diambil setelah penilaian teknikal dan keselamatan yang menyeluruh dibuat.
“Faktor-faktor seperti cabaran geoteknikal, persekitaran yang tidak stabil, serta pergerakan tanah yang berulang di kawasan berkenaan telah menjejaskan integriti struktur paip dan menimbulkan risiko terhadap keselamatan operasi serta komuniti setempat.
“Oleh itu, langkah penamatan operasi sebahagian saluran ini diambil bagi mengutamakan keselamatan orang awam,” jelas beliau.
Namun begitu, Ahli Parlimen Pengerang itu menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak akan menjejaskan komitmen Petronas terhadap pelanggan dan pemegang taruhnya.
Katanya, Petronas kekal komited dalam memastikan bekalan tenaga kepada pelanggan melalui laluan alternatif yang lebih selamat serta melabur dalam projek-projek minyak, gas, dan tenaga di Sabah dan Sarawak.
“Projek Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) mula dibina pada tahun 2011 setelah kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh dilakukan, melibatkan pertimbangan kos pembinaan, keperluan komersial, keselamatan operasi, dan faktor teknikal lain.
“Walaupun begitu, beberapa kejadian “pipe parting” yang berlaku antara 2014 hingga 2022, ditambah dengan peningkatan pergerakan tanah di kawasan terbabit, memaksa Petronas untuk menghentikan operasi saluran paip di kawasan berkenaan.
“Petronas kini sedang berusaha untuk memastikan kesinambungan bekalan gas melalui laluan dan infrastruktur alternatif yang lebih selamat bagi mengelakkan sebarang risiko pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu dalam kenyataan di facebooknya, Madius memberitahu bahawa sejak awal lagi, UPKO tidak bersetuju dengan pembinaan saluran paip Kimanis – Bintulu oleh Petronas.
“UPKO melihat projek ini sebagai satu langkah yang akan membawa lari sumber gas dari Sabah dan menidakkan keperluan gas dalam negeri untuk menjana bekalan elektrik yang mencukupi.
Madius turut mendedahkan bahawa selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), UPKO telah meminta pembatalan projek tersebut sebagai salah satu syarat sokongan terhadap Perdana Menteri ke-5.
UPKO mencadangkan agar arah laluan paip tersebut dialihkan ke Sandakan atau Lahad Datu, supaya gas yang ada dapat digunakan untuk menjana elektrik, dan jika ada lebihan, boleh dijadikan bahan mentah untuk industri petrokimia di POIC Lahad Datu.
“Walaupun cadangan ini diterima pada awalnya, pembinaan paip tersebut tetap diteruskan juga.
“Kerajaan ketika itu juga pernah menjanjikan bahawa Sabah akan diberikan 25% pegangan ekuiti dalam projek LNG di Bintulu.
“Namun, setelah beliau menyemak perkara tersebut semasa memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri, beliau mendapati bahawa ekuiti tersebut bukanlah percuma dan sebaliknya perlu dibayar.
“Inilah latar belakang kenapa Tuaran bertanya soalan ini di Dewan Rakyat,” ujar bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu lagi.

