Site icon TUHAU BAMBANGAN

Mahkamah koroner tetapkan prosiding inkues kes Zara Qairina bermula 3 September depan

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner di sini, menetapkan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina Mahathir bermula 3 September ini.

Prosiding akan berlangsung selama 19 hari dengan tarikh ditetapkan pada 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19, serta 22 hingga 30 September.

Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz memutuskan perkara itu pada sebutan kes di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya merangkap Pengendali Kes, Mohd Fairus Johari memaklumkan, sebanyak 195 kenyataan saksi telah direkodkan, manakala senarai deponen akan dimuktamadkan sebelum prosiding bermula.

Sementara itu, wakil peguam kepada keluarga arwah Zara, Hamid Ismail berkata, prosiding inkues itu juga nanti akan dibuat sama di hadapan Hakim koroner Azreena Aziz.

Mengulas mengenai saksi, Hamid berkata, jumlah itu akan ditentukan kemudian bagi memberi laluan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyusun saksi-saksi yang ada.

“Kami telah memohon untuk menjadi pihak yang menyoal juga bagi membantu pendakwaan, tetapi kami diarahkan untuk memfailkan permohonan secara rasmi, dan kami akan failkan dalam minggu ini.

“Sabah Law Society (SLS) pula akan bertindak sebagai ‘watching brief’ dan buat masa ini status kami adalah ‘watching brief’ tetapi apabila permohonan diluluskan, status kami kami akan berubah kepada pihak berkepentingan di mana kami boleh bertindak menyoal saksi-saksi yang ada.

“Kita juga memohon agar diberikan semua dokumen yang ada pada Jabatan Peguam Negara yang mana akan dijadikan bukti dalam kes ini. InsyaAllah mungkin akan diluluskan juga.

“Ibunya nanti akan dipanggil sebagai saksi,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat susulan permohonan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, selaras Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

AGC sebelum ini, pada 13 Ogos, mengumumkan keputusan untuk mengadakan inkues selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa lalu.

Zara Qairina sebelum ini dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu akibat kecederaan otak yang teruk, dan kes tersebut mendapat perhatian meluas masyarakat serta dibahaskan di Dewan Rakyat minggu ini.

Exit mobile version