KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kes kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Ogos 2025 bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, tindakan itu dibuat selepas siasatan tambahan dilaksanakan oleh Pasukan Khas (Task Force) JSJ Bukit Aman.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 195 individu sudah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. Mereka terdiri daripada pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa serta saksi-saksi lain yang relevan dengan siasatan.
“Siasatan yang dijalankan memberi tumpuan kepada dua elemen penting iaitu aspek inkues dan aspek perlakuan jenayah lain seperti buli serta penularan berita palsu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Datuk M. Kumar menegaskan, masyarakat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian awam.
“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan ini dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen PDRM untuk memastikan semua aspek siasatan ditangani dengan penuh integriti bagi menjamin keadilan kepada semua pihak terlibat.

