KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej wanita disyaki dibunuh ditemukan tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumah keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.55 pagi daripada bapa mangsa yang menemukan anak perempuannya berusia lingkungan 20-an dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia di lokasi. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi Hospital Serdang mengesahkan punca kematian adalah akibat pendarahan di sekeliling tulang hyoid (tulang leher), manakala kecederaan pada otot dan tulang berpunca daripada manual strangulation (cekik),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama kakak dan sepupunya, namun ketika kejadian mangsa berada seorang diri di rumah.
“Rumah terbabit merupakan milik keluarga dan siasatan mendapati tiada kehilangan harta benda dilaporkan,” katanya.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak polis akan memastikan semua aspek disiasat dengan teliti.
Sumber: Bernama

