BELURAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Beluran, iaitu Telupid, Sugut dan Labuk, mesti terus dimenangi calon GRS pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Katanya, kemenangan di ketiga-tiga DUN tersebut penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri dan kestabilan politik Sabah.
“Kita sudah hampir lima tahun, tidak lama lagi pilihan raya. Saya mahu tiga DUN di Beluran ini termasuk Telupid, Sugut dan Labuk mesti dimenangi GRS. Sokong calon daripada parti kita,” tegasnya ketika berucap merasmikan Pesta Labuk Beluran 2025 di Tapak Tamu FAMA, Pekan Beluran pada Sabtu.
Hajiji yang juga Ketua Menteri turut mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan tohmahan serta pembohongan yang dilemparkan oleh pemimpin pembangkang.
“Jangan terlalu percaya tohmahan. Pembohongan pemimpin pembangkang ini tiada kerja lain, setiap hari buat fitnah. Tidur pun mereka menulis buat fitnah, siang malam fitnah. Ini kita tidak mahu benarkan,” katanya.
Menurutnya, rakyat perlu melihat ke hadapan demi menjamin kemajuan negeri, bukannya berpecah-belah akibat dakyah yang tidak berasas.
Beliau optimis bahawa GRS akan terus diberi mandat selepas PRN17 nanti.
“Kita mahu rakyat teruskan inisiatif kejayaan GRS untuk lima tahun lagi. InsyaAllah selepas pilihan raya nanti, GRS akan kembali memerintah. Datuk Samad Jambri tetap menang di sini, begitu juga Datuk James Ratib dan Datuk Jonnybone Kurum di Telupid. Kita mesti satu hati menangkan calon kita di sini,” katanya.

