KOTA KINABALU: Pasukan peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan tatatertib yang sedang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman terhadap tiga pegawai polis di Sabah yang terlibat dalam siasatan awal kes berkenaan.
Menurut kenyataan bersama enam peguam, termasuk Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, gelombang JusticeForZara yang kini melanda seluruh negara tidak akan tercetus sekiranya pegawai penyiasat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sejak awal siasatan selepas menerima maklumat berhubung kematian Zara pada 17 Julai lalu.
“Kami menyokong siasatan tersebut. Gelombang JusticeForZara di seluruh Malaysia yang menuntut keadilan bagi Zara tidak akan berlaku jika langkah yang sepatutnya diambil oleh pegawai penyiasat mengikut prosedur undang-undang dipatuhi,” menurut kenyataan itu.
Peguam turut menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti cuai atau melanggar SOP siasatan.
Mereka juga berharap kes ini menjadi peringatan penting kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan semua kes kematian mencurigakan disiasat secara telus dan menyeluruh dari tarikh laporan pertama diterima.
“Dalam pada masa yang sama, kami masih menunggu tarikh permohonan inkues diadakan oleh Jabatan Peguam Negara,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan JIPS telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap tiga pegawai polis berpangkat Superintenden, Asisten Superintenden (ASP) dan Inspektor berhubung ketidakpatuhan SOP dalam siasatan awal kematian Zara Qairina.

