TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 30-an selepas disyaki menumbuk isterinya dalam kejadian di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.01 tengah malam apabila suspek dipercayai menumbuk lengan kiri isterinya yang berusia lingkungan 50-an kerana berang apabila mangsa lambat membuka pintu bilik.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan dan lebam di bahagian lengan sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 1.50 petang di tepi jalan sekitar bandar Tawau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana status imigresen.
Superintendan Champin menegaskan, pihaknya memandang serius kes keganasan rumah tangga dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan pertikaian secara berhemah tanpa menggunakan kekerasan.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes keganasan rumah tangga diminta menyalurkannya segera kepada polis,” tegas beliau.

