KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan membuka kertas siasatan tatatertib terhadap tiga pegawai polis di Sabah yang terlibat dalam siasatan awal kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pasukan JIPS akan bergegas ke Sabah dalam masa terdekat bagi mengambil keterangan serta menjalankan tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan tatatertib itu melibatkan Ketua Polis Daerah (Superintendan), Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (ASP), serta pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
“JIPS akan ambil keterangan semua pihak terbabit dan buka kertas tatatertib. Ketiga-tiga pegawai berkenaan masih bertugas ketika ini,” katanya ketika ditemui media pada sebuah majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.
Memetik Harian Metro, Ayob Khan menjelaskan, JIPS akan meneliti tahap penyeliaan dan pemantauan sepanjang siasatan kes berkenaan dijalankan. Tegasnya, tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Mereka kena bertanggungjawab. Jika tidak buat penyeliaan atau tindakan sewajarnya, pegawai terbabit akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, memaklumkan pasukan Task Force yang memulakan siasatan pada 11 Ogos lalu mendapati wujud ketidakpatuhan prosedur, termasuk kegagalan pegawai penyiasat membuat permohonan bedah siasat terhadap mangsa.
Kes kematian Zara Qairina, pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, mendapat perhatian meluas selepas beliau ditemui tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokan harinya.

