KOTA KINABALU: Pengerusi Smart Sabah, Datuk Mohammed Razali Razi menegaskan, netizen yang menggunakan media sosial untuk mencari kebenaran dalam kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir wajar dihargai tetapi jangan sampai terjerumus dalam spekulasi yang boleh menggugat siasatan.
Beliau mengingatkan, ada perbezaan besar antara netizen yang mencari kejelasan dengan mereka yang menunggang isu demi populariti.
“Sokong keluarga, beri kekuatan emosi. Jangan jadikan ini platform politik untuk tunjuk kita relevan. Apa yang kita mahu adalah kebenaran, bukan cerita tidak sahih dari media sosial,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil, Doa Kesejahteraan dan Solat Sunat Hajat di Masjid Al Munir, Kampung Darau, semalam.
Razali yang juga seorang peguam berkata, inkues adalah kunci untuk membuka segala persoalan.
“Bila ada inkues, semua fakta akan terdedah. Harapan kita, ia beri jawapan dan kebenaran yang sebenar,” ujarnya.
Mengulas soal peranan sekolah, beliau mahu sistem keselamatan dan pentadbiran dikaji semula.
“Kalau longgar, ketatkan. Isu ini mesti dipandang serius, bukan dipolitikkan sampai ada yang mahu jadi hero. Lihat dari sudut lebih luas,” katanya.
Beliau menutup kenyataan dengan amaran jelas, iaitu jangan menuduh tanpa bukti.
“Kita berpegang pada fakta, bukan andaian. Cakap-cakap tentang buli setakat ini cuma cerita dari media sosial dan belum disahkan,” tegasnya.

