KUDAT: Seorang lelaki maut manakala dua lagi terselamat selepas hanyut di laut berhampiran Perairan Pantai Bangau, Sikuati dekat sini petang semalam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Azman Idris, 31, manakala dua mangsa yang selamat ialah Muhammad Haseef Abdul Rahman, 29, dan Aidil Adman Said, 49.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang daripada seorang pekerja Syarikat Kibing Sikuati, Kudat yang memaklumkan tiga pekerja kapal penarik pasir hanyut di laut selepas insiden tali jangkar putus akibat laut bergelora.
“Kejadian berlaku apabila seorang mangsa terjatuh semasa membuat penyambungan tali jangkar. Dua lagi rakan mangsa terjun ke laut untuk menyelamatkannya, namun kesemua mereka tidak dapat naik semula ke kapal kerana ombak bergelora,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Setibanya pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kudat pada jam 5.10 petang, ketiga-tiga mangsa telah hanyut ke tepi pantai sebelum diselamatkan anggota bomba dengan bantuan agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pegawai Perubatan KKM mengesahkan Mohd Azman meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi mangsa diberi rawatan awal di tempat kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan 12 anggota bomba dengan kekuatan tiga jentera termasuk sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Vigo ditamatkan pada jam 6.43 petang selepas memastikan tiada lagi ancaman lain.

