LAHAD DATU: Seorang penganggur berusia 52 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini atas dua kesalahan berat termasuk cubaan merogol anak jirannya yang baru berusia 10 tahun, dan positif dadah jenis syabu.
Tertuduh yang tenang di kandang pesalah bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 29 Julai lalu kira-kira jam 10 pagi, tertuduh memanggil mangsa yang ketika itu berseorangan di rumah, menarik tangannya ke sebuah pondok berhampiran, sebelum cuba melakukan perbuatan terkutuk itu.
Mangsa sempat melarikan diri dan membuat laporan polis dengan bantuan keluarga.
Pemeriksaan pakar di Hospital Lahad Datu mengesahkan tiada koyakan pada selaput dara mangsa, namun cubaan jenayah itu cukup untuk menjerat tertuduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Lebih memburukkan keadaan, saringan air kencing mendapati tertuduh positif syabu, sekali gus berdepan pertuduhan kedua di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mahkamah menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan perubatan dan hasil temu bual Child Interview Centre (CIC). Pendakwaan dikendalikan oleh Insp Sitti Zubaeda Hj M Kasim.

