Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kematian Zara: Tiada anak VVIP terlibat – Pengarah JSJ Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tiada sebarang penglibatan anak VVIP dalam kes kematian pelajar, Zara Qairina, seperti yang ditularkan di media sosial.

“Siasatan setakat ini mendedahkan tiada anak VVIP terlibat sepertimana ditularkan,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk M. Kumar Muthuvelu dalam sidang media di sini, semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, ssetakat ini sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka berhubung penyebaran berita palsu, hasutan, fitnah dan komen jelik berkaitan kes tersebut.

“Pecahan kertas siasatan adalah tiga oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, 10 di Sabah, satu di Kuala Lumpur dan satu di Perak. Daripada jumlah itu, dua kertas siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

“Dalam perkembangan terbaharu, polis menahan seorang wanita, Siti Hajar Aflah Sharudin, 39 tahun, seorang guru di SMK Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Rawang, yang kini dijamin polis.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.

Menurut Datuk M. Kumar, pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat 12 Ogos 2025 merekodkan 671 kandungan palsu berkaitan kes ini, dengan 522 telah dipadam dan 131 lagi dalam penelitian.

Katanya lagi, selain siasatan berita palsu, polis turut menjalankan sesi intervensi terhadap 124 pelajar tingkatan satu hingga enam yang terkesan dengan insiden ini, bagi mencegah kejadian berulang dan memulihkan keyakinan pelajar.

Siasatan juga memberi tumpuan kepada unsur kesalahan buli di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya.

Pihak polis turut mempercepatkan proses mendapatkan laporan kimia bagi melengkapkan laporan bedah siasat, serta menunggu hasil analisis forensik ke atas telefon yang telah dirampas.

Exit mobile version