TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis kerana disyaki mencabul dan mencederakan seorang pelajar perempuan dalam kejadian di kawasan kedai-kedai Jalan Kuhara, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau pada jam 4 petang semalam di tepi Bangunan Eastern Plaza, Jalan Kuhara.
Menurut siasatan awal, kejadian berlaku pada 7 Ogos lalu sekitar jam 4 petang apabila mangsa berusia 18 tahun berjumpa suspek yang dikenalinya melalui telefon.
Suspek kemudian mengajak mangsa ke sebuah hotel namun ditolak, sebelum bertindak memaksa dan menumbuk mangsa di bahagian lengan serta perut hingga menyebabkan lebam dan kesakitan.
Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux beserta kunci kereta yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
Suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Pihak polis menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda, agar berhati-hati ketika berurusan dengan individu yang baru dikenali serta segera membuat laporan sekiranya menjadi mangsa jenayah.

