KOTA KINABALU: Pasukan peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menjalankan prosiding inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian remaja berkenaan, termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi, keputusan tersebut adalah selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah dan memenuhi semua permohonan yang telah dikemukakan pihak mereka melalui surat bertarikh 5 Ogos 2025.
Mereka turut menyatakan hasrat untuk memohon kepada pihak koroner agar diberi peluang terlibat secara langsung dalam prosiding inkues nanti, dengan harapan ia dapat dijalankan secara lancar dan diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
“Keadilan bagi Zara adalah matlamat utama kami dalam semua tindakan yang kami lakukan,” tegas kenyataan itu.

