Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kes Zara: IO langgar SOP, manakala tiada bedah siasat adalah permintaan ibu – Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai penyiasat dan penyelianya selepas siasatan pasukan khas Bukit Aman mendapati wujud ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan yang bermula pada 11 Ogos lalu mengesahkan pegawai penyiasat gagal membuat permohonan untuk proses bedah siasat mengikut prosedur.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelianya kerana tiada pengawasan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, seperti dilaporkan Harian Metro.

Bagaimanapun, Kumar menjelaskan keputusan untuk tidak melakukan bedah siasat pada awalnya dibuat atas permintaan keluarga.

“Persetujuan ini direkodkan dengan tandatangan ibu mangsa, doktor, pakar patologi dan pegawai penyiasat dalam dokumen ‘Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang dikeluarkan pihak hospital,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan prosiding inkues akan dijalankan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus bagi menentukan punca kematian, selaras dengan Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Allahyarhamah Zara, 13, pelajar SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Pada 9 Ogos, kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos yang sekali gus melengkapkan siasatan dan memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Exit mobile version