KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
KPM menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, langkah tersebut diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, teliti, dan tuntas. Kes ini merupakan keutamaan KPM pada masa ini,” jelas kenyataan itu.
KPM turut berharap agar siasatan telus dan menyeluruh dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga mangsa dan semua pihak yang terlibat.

