Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kes Zara: Peguam tahan diri ulas hasil bedah siasat, elak berlaku percanggahan

KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina mengambil pendirian untuk tidak mengulas lanjut hasil bedah siasat yang dijalankan pada 10 Ogos lalu demi mengelakkan percanggahan maklumat dengan laporan rasmi yang akan dikeluarkan pihak hospital.

Dalam kenyataan bersama, peguam Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi berkata, langkah itu diambil selepas dimaklumkan secara lisan mengenai kecederaan yang ditemui pada tubuh arwah, namun mereka mahu memastikan maklumat yang disampaikan kepada umum kekal tepat dan berlandaskan laporan rasmi.

“Kami tidak mahu sebarang percanggahan timbul antara maklumat lisan yang diterima dengan laporan rasmi kelak. Justeru, kami memilih untuk menahan diri daripada membuat kenyataan lanjut berhubung perkara ini,” jelas mereka dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Peguam tersebut turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara atas arahan untuk menggali semula kubur Zara dan menjalankan bedah siasat, serta kepada pihak polis yang mengawal rapi keseluruhan proses dari penggalian hingga pengebumian semula.

“Tidak dilupakan, ucapan terima kasih turut disampaikan kepada semua pihak termasuk wartawan yang setia berada di tanah perkuburan dan Hospital Queen Elizabeth I sejak pagi hingga malam bagi mengikuti perkembangan kes,” tambah mereka.

Exit mobile version