Site icon TUHAU BAMBANGAN

Remaja wanita ditahan, ugut ‘apa-apakan girlfriend’ seorang lelaki melalui WhatsApp

TAWAU: Polis menahan seorang remaja wanita tempatan berusia 17 tahun selepas disyaki terlibat dalam kes ugutan meminta wang melalui aplikasi WhatsApp dengan ancaman untuk ‘mengapa-apakan’ teman wanita seorang lelaki, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian bermula apabila mangsa menerima mesej ugutan di kediamannya, menuntut sejumlah wang jika mahu keselamatan teman wanitanya terjamin.

Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis, katanya dalam satu kenyataan pada Ahad lalu.

“Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Fajar, Tawau. Turut dirampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.

Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut.

Exit mobile version