KIMANIS: Dua lelaki cedera selepas lori enam tan yang mereka naiki terbabas sendiri di bahu jalan di Jalan Kimanis-Keningau awal pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.10 pagi.
Susulan itu, mereka telah menghantar sebuah jentera FRT dengan lima anggota dan sebuah pacuan empat roda Hilux dengan tiga anggota ke lokasi kejadian sejauh 25 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Nazir Che Lah berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya dimaklumkan kedua-dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan persendirian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat dan memastikan kawasan kemalangan selamat dilalui pengguna jalan raya lain,” katanya.
Kedua-dua mangsa berusia 30 dan 26 tahun dilaporkan cedera.
Tiada agensi lain terlibat dalam operasi ini yang tamat sepenuhnya pada jam 4.08 pagi.

