Site icon TUHAU BAMBANGAN

Majlis Tahlil & Doa untuk Allahyarhamah Zara di masjid, surau seluruh Sabah Khamis ini

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan menganjurkan Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri bagi mendoakan kesejahteraan Allahyarhamah Zara Qairina binti Mahathir pada Khamis ini bersamaan 14 Ogos 2025.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah merangkap Exco Pendidikan dan Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, majlis utama akan diadakan selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samahah.

Acara itu juga akan berlangsung secara serentak di semua masjid dan surau di seluruh negeri.

“Pada 8 Ogos lalu, saya telah mengarahkan Pengarah JHEAINS untuk menyelaras majlis tahlil dan doa ini di semua masjid dan surau seluruh Negeri Sabah.

“Bersama-samalah kita berdoa semoga Allahyarhamah beroleh maghfirah dan rahmah,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Majlis ini dianjurkan sebagai tanda solidariti dan doa bersama rakyat Sabah untuk Allahyarhamah Zara, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, yang meninggal dunia pada 16 Julai lalu dalam kejadian yang kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Kerajaan Negeri menyeru seluruh masyarakat Islam untuk hadir bersama-sama di majlis tersebut, manakala masyarakat bukan Islam digalakkan untuk mendoakan mengikut kepercayaan masing-masing.

Exit mobile version